Monday, 21 July 2014

Aku, Cik Mistree dan..... Sabah Negeriku - Bhgn 3

Keadilan sosial dan ekonomi kunci kepada integrasi nasional - analogi perangai kera




Snapshot di atas merupakan sebahagian jawapan balas Cik Mistree dalam dialog maya kami. Saya katakan jika orang Semenanjung boleh dan telah jadi mufti Sabah, mengapa tiada orang Sabah dilantik jadi mufti di mana-mana negeri di Semenanjung? Mengapa tiada orang Sabah yang pernah jadi mufti Selangor atau Kedah misalnya? Maka dijawab oleh Cik Mistree seperti di atas. 

Jawapan itu mengingatkan saya kepada satu perumpamaan berbentuk cerita pendek yang dikongsikan oleh rakan sepengajian saya dalam satu majlis ta'lim. Ketika itu saya sedang menuntut di sebuah IPTS di Melaka. Kata kawan saya, kera adalah satu makhluk berakal pendek yang tidak tahu nilai keadilan sosial dalam masyarakat. Bagi kera, "makanan orang lain adalah makanan aku juga, tapi makanan aku hanya untuk aku saja". Ia mahu makhluk lain berkongsi kepentingan dengannya tapi ia tak mahu kongsi kepentingannya dengan makhluk lain. 

Tidak hairanlah jika kera selalu merampas makanan dari tangan manusia yang sedang leka duduk santai berkelah atau berekreasi dekat habitat mereka. Tidak hairan jugalah jika kera sering menceroboh rumah-rumah manusia untuk mencuri makanan dan membuatkan rumahnya bersepah sehingga menyusahkan tuan rumah. Tetapi pernahkah kita lihat kera menghulurkan makanannya kepada manusia atau sesama mereka atas semangat perkongsian. Mana pernah, kera hanya asyik berkelahi merebut makanan sahaja. 

Kepada Cik Mistree, saya harap tolonglah jangan jadi seperti kera yang tidak pernah kisah dari mana datang sumber makanannya. 20 tahun membesar di Sabah, hirup udara Sabah, belajar di sekolah sana dan makan sumber makanan yang ada di sana, tapi tak mahu mengakui nikmat yang telah dikecapi. Tak perlu berterima kasih pun, kerana memang sifat manusia jarang menghargai nikmat yang diberi. Seperti nikmat pemberian Sabah kepada Semenanjung melalui keuntungan minyak, gas dan sebagainya yang jarang benar diucapkan terima kasih oleh mereka yang paling banyak menikmatinya.



Saya juga tertanya-tanya dalam ramai2 ulama dan guru agama di Kedah itu, takkan tak seorang pun pernah mengajarkan Cik Mistree tentang pentingnya keadilan sosial untuk kesejahteraan umat dan masyarakat? Bukankah Islam itu mewajibkan kekayaan dan kemakmuran itu dibahagikan seadil mungkin di kalangan rakyat jelata tanpa mengira kaum dan wilayah? Kalau belah sana lebih ramai orang kaya dan lebih maju tapi dapat royalti 95%, sini dapat royalti 5% walaupun ramai miskin dan ketinggalan, adil ke? 

Kalau belah sana gaji minimum RM900, belah sini RM800, adil ke? Kalau belah sana boleh masuk sini ramai2 jadi guru, mufti, polis bagai, tapi belah sini susah nak masuk sana atas kapasiti yg sama, adil ke? Khalifah-khalifah Islam dulu-dulu pun tak pernah bolot kekayaan wilayah-wilayah seberang yang diperintah oleh khilafah mereka. Setakat kutip zakat, jizyah, kharaj dan lain2 jenis cukai yg wajar dikutip sebagai ulul amri. Berbeza dengan jawapan di atas dan penulisan Cik Mistree yang jelas mempamerkan mentaliti "negeri kau negeri aku juga, tapi negeri aku negeri aku saja". Siapa yang ajar ini? Ulama Kedah?

Kalau orang Sabah nak pakai hujah Cik Mistree, kami boleh cakap buat apa nak ambik guru2 Semenanjung, ramai orang Sabah ada kelayakan utk jadi guru. Pemegang ijazah, diploma, STPM, MCE, HSC semua ada. Buat apa nak ambik pasukan keselamatan dari Semenanjung, ramai je pemburu2 yang handal gunakan senapang, bakakuk, handal menjejak sasaran gunakan anjing dan deria sendiri. Tapi orang Sabah tak bercakap begitu. Mereka tetap terima kehadiran guru2 dan lain2 kakitangan dari Semenanjung. Cuma mereka minta tingkatkan pengambilan anak2 Sabah supaya nisbahnya lebih seimbang, tidak berat sebelah macam sekarang.  


Ini juga jawapan yang membuatkan saya tertawa sendiri. Kerana tidak dapat memberikan jawapan yang berakal kepada komen-komen yg saya utarakan, maka digunakanlah taktik memperkecilkan si pengata DAN kerakyatannya, bukan memerhatikan apa yang dikata. Entah apa agaknya yg akan difikirkan oleh ulama dan tok2 guru negeri Cik Mistree jika mereka tau adanya anak didik mereka yang bermentaliti seperti ini. Memperjuangkan keadilan dan kesama rataan hanya untuk diri sendiri, tapi tidak untuk kelompok lain yang juga perlukan keadilan. Macam mana nak capai integrasi nasional kalau masih ada rakyat Malaysia yang berfikiran sebegini? Islam pulak tu, ish, malu, malu.

Namun saya wajib berterima kasih kepada Cik Mistree kerana telah menambah warna warni kehidupan saya dengan memperkenalkan ragam Cik Mistree kepada saya. Jika tidak membaca tulisan Cik Mistree, mungkin sampai sekarang saya tak akan buat blog ini. Apa-apa pun, segala yang berlaku ada hikmahnya dan tiada ciptaanNya yang sia-sia. Semuanya dijadikan atas tujuan yang Dia sendiri tahu. Moga Allah merahmati hamba-hambaNya yang ikhlas dan bersyukur. 


Bersambung   


   

Aku, Cik Mistree dan.... Sabah Negeriku - Bhgn 2

Malay Dilemma dan Sabah Dilemma


Tun Dr. Mahathir dalam bukunya yang terkenal telah berjaya menampilkan pandangannya bahawa orang-orang Melayu harus terus mendapat keistimewaan tertentu berbanding orang-orang bukan Melayu untuk tempoh yang panjang. Salah satu sebab utamanya adalah kedudukan ekonomi orang-orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kedudukan ekonomi orang-orang bukan Melayu. Hingga sekarang pun ekonomi negara ini sebahagian besarnya masih dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Situasi yang sama juga sebenarnya masih wujud di Sabah sejak pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963 hingga sekarang. Walaupun Sabah kaya dengan hasil bumi, penguasaan ekonomi Anak Negeri Sabah masih jauh ketinggalan berbanding penduduk lain yang tinggal dan bekerja di Malaysia dan penduduk lain yang tinggal dan bekerja di Sabah. Misalnya dalam sektor carigali minyak dan gas yang merupakan nadi utama ekonomi Malaysia, sebahagian besar hasilnya (95%) disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan. Sabah pula mendapat pulangan yang sedikit (5%) sahaja setiap tahun. 

Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah memberikan hak eksklusif kepada Petronas, sebuah entiti Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan keseluruhan usaha carigali minyak dan gas di seluruh negara termasuk Sabah. Berapa ramai anak Sabah yang memegang jawatan penting dalam entiti ini? Pastinya sangat sedikit dan tidak sepadan langsung dengan nilai kekayaan yang disedut dari negeri itu. Keadaan ini diburukkan lagi apabila Labuan diambil oleh Kerajaan Persekutuan tanpa sebarang pampasan kepada Kerajaan Negeri. Langkah ini telah menjadikan kesemua telaga minyak di sekitar Labuan milik penuh Kerajaan Persekutuan seterusnya mengurangkan nilai royalti minyak yang dibayar kepada Kerajaan Sabah.

Bukan sahaja sektor minyak dan gas, sektor-sektor ekonomi lain juga turut dikuasai oleh entiti luar Sabah. Banyak ladang-ladang komoditi luas yang dimiliki oleh syarikat-syarikat luar Sabah seperti Sime Darby Plantation, TH Plantation, FELDA, FELCRA, RISDA dan sebagainya. Begitu juga dengan sektor janaan tenaga letrik dimonopoli Lembaga Perkhidmatan Elektrik Sabah (SESB) yang dimiliki 80% oleh Tenaga Nasional, sebuah entiti yang sebahagian besar pekerja dan pemimpinnya adalah non-Sabahan. Sektor perkapalan dan industri marin juga dikuasai entiti luar Sabah melalui Dasar Kabotaj yang turut menyebabkan harga barangan di Sabah menjadi lebih mahal berbanding di Semenanjung. Bahkan perkhidmatan awam persekutuan di Sabah pun sebahagian besarnya dikuasai oleh non-Sabahan kerana ramai guru, anggota keselamatan dan pegawai Kerajaan dari luar Sabah ditempatkan di negeri itu. Jawatan-jawatan penting untuk kemaslahatan Sabah seperti Mufti Negeri dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam Sabah juga pernah atau sering diberikan kepada mereka yang berasal dari luar Sabah. 

Keadaan ini mewujudkan ketidak seimbangan sosioekonomi dan kuasa pentadbiran yang ketara antara Sabah dengan Semenanjung di mana banyak peluang ekonomi dan pekerjaan, khususnya sektor awam dan GLC yang tidak dinikmati oleh anak negeri Sabah. Situasi-situasi di atas telah menyebabkan Anak Negeri Sabah mempunyai kedudukan ekonomi yang terkebelakang berbanding penduduk lain di Sabah. Layanan ini sesungguhnya sangat tidak sepadan dengan status negeri Sabah selaku salah sebuah penyumbang kekayaan terbesar kepada Malaysia. Kepentingan ekonomi Sabah kepada Malaysia diakui tokoh-tokoh besar negara seperti Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, DS Anwar dan lain-lain sehingga Sabah digelar 'fixed deposit' oleh Kerajaan Persekutuan. Sabah juga penting dari segi politik kerana tiada mana-mana parti politik yang boleh meraih kuasa di Malaysia tanpa mendapat sokongan pengundi-pengundi Sabah.



Namun kepentingan Sabah kepada Malaysia tidak tergambar melalui kedudukan ekonomi rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan berbanding rakyat negeri-negeri lain. Integrasi Nasional tidak akan tercapai selama-lamanya selagi mana kelompok masyarakat dalam satu wilayah tidak mendapat manfaat ekonomi yang setara dengan wilayah yang lain. Keadaan ini memang dirasai di Sabah yang menerima gaji pertengahan yang lebih rendah berbanding di Semenanjung, seperti yang Cik Mistree sendiri nyatakan:



Dengan gaji pertengahan yang sangat rendah berbanding Semenanjung, sudah tentulah kedudukan ekonomi Anak Negeri Sabah jauh terkebelakang berbanding mereka yang bukan Anak Negeri Sabah, kecuali mereka yang bekerja dalam sektor Kerajaan yang jumlahnya amat sedikit secara relatif berbanding penjawat awam Semenanjung. Anehnya, gaji pertengahan yang rendah ini berlaku tatkala Sabah menikmati pertumbuhan KDNK yang tinggi dan pesat: 




Adalah sangat pelik dan memusykilkan bagaimana sebuah negeri yang mempunyai pendapatan per kapita yang sangat tinggi (RM19,010) hanya mampu menawarkan gaji pertengahan yang sangat rendah, RM577 sahaja kepada penduduknya - lebih rendah daripada gaji pekerja asing di Semenanjung. Jika majikan di Sabah tidak berkeupayaan membayar gaji yang lebih tinggi berbanding sekarang, maka tentulah disebabkan mereka belum mencapai tahap keuntungan yang memungkinkan sedemikian. 

Jadi ke mana perginya sebahagian besar KDNK Sabah yang berjumlah RM44.4 billion itu? Ke mana perginya hasil ekonomi Sabah yang berkembang pesat sehingga rakyat Sabah harus bersyukur dapat menonton angka-angka besar dalam laporan ekonomi negeri mereka? Hakikatnya sebahagian besar hasil ekonomi itu tidak mengalir ke dalam poket mereka tetapi mengalir keluar dari negeri mereka kepada entiti-entiti ekonomi yang berpusat di Semenanjung. Aliran keluar KDNK Sabah ini telah mewujudkan jurang ekonomi yang sangat ketara di negeri ini sehingga gaji pertengahan jauh lebih rendah berbanding pendapatan per kapita. 

Realitinya, jika orang-orang Melayu memerlukan DEB dan status bumiputera untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka, maka Anak Negeri Sabah juga sangat memerlukan 'kedudukan istimewa' dalam ekonomi setempat. Laungan sebahagian pemimpin pembangkang dan Kerajaan agar meningkatkan pengambilan anak-anak Sabah dalam Kerajaan Persekutuan, GLC dan program-program bantuan keusahawanan adalah rentetan daripada realiti ini. Aliran keluar KDNK ini harus dihentikan dan dikembalikan kepada rakyat Sabah yang lebih memerlukan. Ringkasnya, rakyat Sabah sangat perlukan perubahan drastik bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan autonomi mereka. 

Oleh itu, sebarang seruan untuk mengurangkan apa juga bentuk 'keistimewaan' yang diperuntukkan kepada Anak Negeri Sabah tidak patut dikemukakan pada masa sekarang. Seruan sedemikian hanya wajar dikemukakan setelah tercapainya keadilan dan keseimbangan sosial serta ekonomi di seluruh negara. Jika ada pun cadangan sedemikian, Perkara 161A dan 161E tidak membenarkannya tanpa kebenaran Yang DiPertua Negeri Sabah dan DUN Sabah.  

Dengan  kata lain, DEB, status bumiputera dan 'kedudukan istimewa' Anak Negeri Sabah (dan Sarawak) mesti kekal serentak atau dihapuskan serentak. Tidak boleh ada mana-mana pihak yang mahu menghapuskan sebahagian 'safeguard' ini dan mengekalkan sebahagian lagi. It is either be all or end all.


Bersambung


Aku, Cik Mistree dan..... Sabah Negeriku - Bhgn 1

Kepada para pembaca yang menyangka nukilan ini adalah kisah cinta romantis antara aku dan seseorang, sudi-sudilah lupakan imaginasi itu. Nukilan ini hanya bertujuan khusus untuk menjelmakan lontaran fikiran dan respon langsung kepada tulisan ini. Nukilan ini juga merupakan cubaan pertama saya sebagai blogger. Sebelum ini tidak pernah teringin untuk membuat sebarang blog memandangkan saya tidaklah mempunyai banyak masa senggang yang boleh diperuntukkan atas tujuan ini. Namun tulisan itu dan dialog yang menyusul antara saya dan si penulis membuatkan saya terfikir ada baiknya jika saya peruntukkan masa untuk menukilkan pendapat dan respon saya kepada beberapa perkara yang Cik Mistree telah bangkitkan dalam tulisannya itu.


Apa isunya?


Cik Mistree telah menceritakan pengalamannya ketika dilahirkan dan menetap selama 20 tahun di Sabah, negeriku dan negeri leluhurku. Dalam luahannya itu, ada beberapa perkara sensitif mengenai Sabah yang telah disentuhnya. Melalui pemerhatian saya, luahannya lebih banyak menjurus kepada ketidak puas hatiannya kerana tidak diterima sebagai anak Sabah walaupun telah dilahirkan dan menetap selama 20 tahun di sana. Ringkasnya Cik Mistree:

1.  Merasa terkilan kerana dilayan seperti 'warga kelas dua' dan tidak dianggap sebagai anak jati oleh pihak berkuasa Sabah dan sebilangan rakyat Sabah (mempertikaikan Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan). 



a) Nota: Senarai 'ras asli' negeri Sabah hendaklah berpandukan Ordinan Tafsiran Anak Negeri Sabah 1952 (http://www.lawnet.sabah.gov.my/Lawnet/SabahLaws/StateLaws/Interpretation(DefinitionOfNative)Ordinance.pdf). 

b) Kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah juga diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang turut akur kepada Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan (http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/perkara161A-Ma.Html

2. Tidak menyukai hakikat bahawa di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, Sabah mempunyai autonomi yang lebih luas sedikit berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dalam urusan imigresen dan kerakyatan menyebabkan rakyat Malaysia yang tidak berstatus 'anak negeri' dikenakan sekatan-sekatan tertentu untuk memasuki Sabah. Ini termasuk had tempoh mendiami tidak melebihi 3 bulan dan arahan memohon 'permit kerja' jika tinggal melebihi 3 bulan.  


Nota: Klausa 161E dengan sendirinya menyekat sebarang cubaan untuk menyama rata atau menurunkan taraf Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak setaraf Negeri-Negeri Tanah Melayu. Klausa ini merupakan 'legal transplant' yang disalin bulat-bulat dari Klausa 66, Perjanjian Malaysia 1963

3. Diasuh oleh ibu bapanya sejak kecil supaya kekal dengan identiti negeri asal mereka walapun telah dilahirkan dan membesar di Sabah. Asuhan ini meliputi aspek makanan & masakan, mentaliti dan dialek percakapan. 

4. Merasakan situasi di no.l dan no.2 tidak sepatutnya berlaku memandangkan Sabah adalah sebuah negeri dalam Malaysia dan semua rakyatnya haruslah sama rata dari segi kewarganegaraan, taraf kelahiran serta kebebasan untuk keluar masuk dan bekerja.

5. Merasakan situasi no.3 tidak sedikitpun mengurangkan merit dirinya untuk diterima sebagai anak negeri Sabah. Tidak perlu embrace budaya dan adat resam mana-mana suku kaum di Sabah, cukup sekadar lahir di Sabah sepatutnya sudah boleh jadi anak jati Sabah.


Mengharapkan kesama rataan yang berat sebelah


Membaca luahan-luahan di atas mengingatkan saya kepada tanggapan umum orang melayu kepada kaum bukan melayu di Semenanjung, iaitu Cina dan India. Kedua-dua kaum ini tidak diiktiraf sebagai bumiputera Malaysia kerana mereka tidak dianggap anak jati negara ini walaupun mereka dan ayah ibu mereka dilahirkan di negara ini. Mereka dianggap tidak layak diiktiraf bumiputera oleh orang Melayu kerana mereka masih kuat berpegang kepada bahasa, kebudayaan dan identiti asal mereka sebagai kaum Cina dan India. Penafian status bumiputera ini masih kekal walaupun kepada kaum Cina dan India yang telah memeluk Islam kerana identiti kemelayuan mengatasi keislaman sebagai kriteria bumiputera kebangsaan. 

Mereka juga sering ditegur oleh orang melayu jika mereka membangkitkan isu-isu sensitif seperti hak istimewa orang melayu, biasiswa khas untuk anak Melayu dan sebagainya. Semuanya semata-mata disebabkan kaum Cina dan India bukan 'orang asal' Tanah Melayu dan tidak minat menyerap identiti Melayu, maka mereka tidak seharusnya layak dianggap sebagai anak jati Malaysia. Mempertikaikan status bumiputera orang Melayu oleh bukan Melayu dianggap biadap, tidak sensitif dan selalunya mengundang kata-kata balas yang pedas daripada orang Melayu, kerana mereka tidak mahu disama ratakan dengan orang-orang bukan Melayu selaku 'penduduk tumpang' di negara Melayu ini. Sungguhpun tidak semua masyarakat Melayu bersikap sedemikian, namun masih ramai yang bersikap begini. 

Di sini saya ingin beritahu Cik Mistree, jika orang-orang Melayu merasakan mereka mempunyai kelebihan sebagai 'orang asal' berbanding bukan Melayu di Semenanjung, maka bumiputera Sabah juga seharusnya mempunyai kelebihan di dalam Negeri Sabah berbanding mereka yang bukan bumiputera Sabah, walaupun mereka sama-sama warganegara Malaysia. Maka itu, jika inginkan layanan dan kerakyatan yang sama taraf antara warga Sabah dengan warga Semenanjung, maka kesama rataan ini mestilah turut merangkumi semua negeri di Malaysia. Tiada suku kaum di mana-mana negeri yang harus dibeza-bezakan statusnya semata-mata atas sebab perkauman dan semua warganegara haruslah setaraf (baca: status bumiputera dihapuskan).     

Namun sanggupkah Cik Mistree menerima keadaan ini? Sanggupkah Cik Mistree membenarkan suara-suara 'sumbang' terus dilaungkan, yang meminta agar status bumiputera dihapuskan di seluruh Malaysia? Kesama rataan tidak boleh dipaksakan ke atas satu negeri sahaja, ia harus dilaksanakan di seluruh negara termasuk di negeri tempat asal usul ibu bapa Cik Mistree sendiri. Tidak boleh memaksakan 'jus soli' ke atas Sabah dan mengecualikannya daripada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia. Cik Mistree juga tidak boleh melaungkan jenis kesama rataan yang hanya memberi faedah kepada diri sendiri tetapi menentang kesama rataan yang tidak menguntungkan diri sendiri. Ini termasuklah kesama rataan dalam pemilikan ekonomi dan pekerjaan antara kaum Melayu dan bukan Melayu dan antara kaum Anak Negeri Sabah dengan bukan Anak Negeri Sabah. 


Bersambung