Monday, 21 July 2014

Aku, Cik Mistree dan..... Sabah Negeriku - Bhgn 1

Kepada para pembaca yang menyangka nukilan ini adalah kisah cinta romantis antara aku dan seseorang, sudi-sudilah lupakan imaginasi itu. Nukilan ini hanya bertujuan khusus untuk menjelmakan lontaran fikiran dan respon langsung kepada tulisan ini. Nukilan ini juga merupakan cubaan pertama saya sebagai blogger. Sebelum ini tidak pernah teringin untuk membuat sebarang blog memandangkan saya tidaklah mempunyai banyak masa senggang yang boleh diperuntukkan atas tujuan ini. Namun tulisan itu dan dialog yang menyusul antara saya dan si penulis membuatkan saya terfikir ada baiknya jika saya peruntukkan masa untuk menukilkan pendapat dan respon saya kepada beberapa perkara yang Cik Mistree telah bangkitkan dalam tulisannya itu.


Apa isunya?


Cik Mistree telah menceritakan pengalamannya ketika dilahirkan dan menetap selama 20 tahun di Sabah, negeriku dan negeri leluhurku. Dalam luahannya itu, ada beberapa perkara sensitif mengenai Sabah yang telah disentuhnya. Melalui pemerhatian saya, luahannya lebih banyak menjurus kepada ketidak puas hatiannya kerana tidak diterima sebagai anak Sabah walaupun telah dilahirkan dan menetap selama 20 tahun di sana. Ringkasnya Cik Mistree:

1.  Merasa terkilan kerana dilayan seperti 'warga kelas dua' dan tidak dianggap sebagai anak jati oleh pihak berkuasa Sabah dan sebilangan rakyat Sabah (mempertikaikan Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan). 



a) Nota: Senarai 'ras asli' negeri Sabah hendaklah berpandukan Ordinan Tafsiran Anak Negeri Sabah 1952 (http://www.lawnet.sabah.gov.my/Lawnet/SabahLaws/StateLaws/Interpretation(DefinitionOfNative)Ordinance.pdf). 

b) Kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah juga diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang turut akur kepada Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan (http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/perkara161A-Ma.Html

2. Tidak menyukai hakikat bahawa di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, Sabah mempunyai autonomi yang lebih luas sedikit berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dalam urusan imigresen dan kerakyatan menyebabkan rakyat Malaysia yang tidak berstatus 'anak negeri' dikenakan sekatan-sekatan tertentu untuk memasuki Sabah. Ini termasuk had tempoh mendiami tidak melebihi 3 bulan dan arahan memohon 'permit kerja' jika tinggal melebihi 3 bulan.  


Nota: Klausa 161E dengan sendirinya menyekat sebarang cubaan untuk menyama rata atau menurunkan taraf Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak setaraf Negeri-Negeri Tanah Melayu. Klausa ini merupakan 'legal transplant' yang disalin bulat-bulat dari Klausa 66, Perjanjian Malaysia 1963

3. Diasuh oleh ibu bapanya sejak kecil supaya kekal dengan identiti negeri asal mereka walapun telah dilahirkan dan membesar di Sabah. Asuhan ini meliputi aspek makanan & masakan, mentaliti dan dialek percakapan. 

4. Merasakan situasi di no.l dan no.2 tidak sepatutnya berlaku memandangkan Sabah adalah sebuah negeri dalam Malaysia dan semua rakyatnya haruslah sama rata dari segi kewarganegaraan, taraf kelahiran serta kebebasan untuk keluar masuk dan bekerja.

5. Merasakan situasi no.3 tidak sedikitpun mengurangkan merit dirinya untuk diterima sebagai anak negeri Sabah. Tidak perlu embrace budaya dan adat resam mana-mana suku kaum di Sabah, cukup sekadar lahir di Sabah sepatutnya sudah boleh jadi anak jati Sabah.


Mengharapkan kesama rataan yang berat sebelah


Membaca luahan-luahan di atas mengingatkan saya kepada tanggapan umum orang melayu kepada kaum bukan melayu di Semenanjung, iaitu Cina dan India. Kedua-dua kaum ini tidak diiktiraf sebagai bumiputera Malaysia kerana mereka tidak dianggap anak jati negara ini walaupun mereka dan ayah ibu mereka dilahirkan di negara ini. Mereka dianggap tidak layak diiktiraf bumiputera oleh orang Melayu kerana mereka masih kuat berpegang kepada bahasa, kebudayaan dan identiti asal mereka sebagai kaum Cina dan India. Penafian status bumiputera ini masih kekal walaupun kepada kaum Cina dan India yang telah memeluk Islam kerana identiti kemelayuan mengatasi keislaman sebagai kriteria bumiputera kebangsaan. 

Mereka juga sering ditegur oleh orang melayu jika mereka membangkitkan isu-isu sensitif seperti hak istimewa orang melayu, biasiswa khas untuk anak Melayu dan sebagainya. Semuanya semata-mata disebabkan kaum Cina dan India bukan 'orang asal' Tanah Melayu dan tidak minat menyerap identiti Melayu, maka mereka tidak seharusnya layak dianggap sebagai anak jati Malaysia. Mempertikaikan status bumiputera orang Melayu oleh bukan Melayu dianggap biadap, tidak sensitif dan selalunya mengundang kata-kata balas yang pedas daripada orang Melayu, kerana mereka tidak mahu disama ratakan dengan orang-orang bukan Melayu selaku 'penduduk tumpang' di negara Melayu ini. Sungguhpun tidak semua masyarakat Melayu bersikap sedemikian, namun masih ramai yang bersikap begini. 

Di sini saya ingin beritahu Cik Mistree, jika orang-orang Melayu merasakan mereka mempunyai kelebihan sebagai 'orang asal' berbanding bukan Melayu di Semenanjung, maka bumiputera Sabah juga seharusnya mempunyai kelebihan di dalam Negeri Sabah berbanding mereka yang bukan bumiputera Sabah, walaupun mereka sama-sama warganegara Malaysia. Maka itu, jika inginkan layanan dan kerakyatan yang sama taraf antara warga Sabah dengan warga Semenanjung, maka kesama rataan ini mestilah turut merangkumi semua negeri di Malaysia. Tiada suku kaum di mana-mana negeri yang harus dibeza-bezakan statusnya semata-mata atas sebab perkauman dan semua warganegara haruslah setaraf (baca: status bumiputera dihapuskan).     

Namun sanggupkah Cik Mistree menerima keadaan ini? Sanggupkah Cik Mistree membenarkan suara-suara 'sumbang' terus dilaungkan, yang meminta agar status bumiputera dihapuskan di seluruh Malaysia? Kesama rataan tidak boleh dipaksakan ke atas satu negeri sahaja, ia harus dilaksanakan di seluruh negara termasuk di negeri tempat asal usul ibu bapa Cik Mistree sendiri. Tidak boleh memaksakan 'jus soli' ke atas Sabah dan mengecualikannya daripada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia. Cik Mistree juga tidak boleh melaungkan jenis kesama rataan yang hanya memberi faedah kepada diri sendiri tetapi menentang kesama rataan yang tidak menguntungkan diri sendiri. Ini termasuklah kesama rataan dalam pemilikan ekonomi dan pekerjaan antara kaum Melayu dan bukan Melayu dan antara kaum Anak Negeri Sabah dengan bukan Anak Negeri Sabah. 


Bersambung 


3 comments:

  1. Assalamualaikum encik seam@pemilik blog boleh saya minta fb encik, saya Majid dari Sabah.

    ReplyDelete
  2. saya telah membaca kesemua ulasan encik seam di blog cik mistree dan sehingga di blog cik seam sendiri berkenan tentang ulasan tajuk di blog cik mistree itu. jadi selepas saya membaca ulasan encik saya tertarik dan perasan ingintahu timbul berkenan sejarah dan masalah ekonomi sabah itu sendiri.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete